BENTONG, 2 OKTOBER 2023 : Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai melalui pengalaman calon yang juga anak jati Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam.
Penganalisis Keselamatan & Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi UITM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, cogan kata ‘Tiada Janji Lihat Bukti’ yang digunakan pimpinan pentadbiran serta tatakelola Pahang juga dilihat agak menarik dengan memberikan tanggapan positif bahawa kebajikan masyarakat adalah misi politik pentadbiran negeri yang diterajui oleh UMNO.
“Penawaran pelbagai insentif seperti pemberian RM300 termasuk bar emas bernilai RM150 untuk setiap kelahiran bermula 2023 juga amat menarik untuk menjadikan pentadbiran Pahang lebih mesra masyarakat.
“Penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dalam menasihati urusan kerajaan negeri dalam melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti adalah langkah ke hadapan pentadbiran moden negeri Pahang.
“Agensi sokongan masyarakat seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang juga ditubuhkan bagi membantu pemilikan kediaman rakyat negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua ini mencerminkan kesepaduan polisi dengan konsep masyarakat perlu dididik, dihargai dan diajak bersama menyumbang kepada kesejahteraan pentadbiran melalui situasi menang-menang dalam teraju politik berkepentingan masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata, faktor gelombang hijau sama ada akan terus dihentikan seperti mana yang berlaku di Pulai dan Simpang Jeram hanya akan ditentukan pada 7 Oktober.
“Konsep formula perpaduan yang diterajui oleh dominasi politik Melayu amatlah penting dalam Kerajaan Perpaduan dan politik negara kerana tema perpaduan negara harus digariskan dengan perasaan suci hati serta bebas dari elemen yang agak keterlaluan yang boleh menimbulkan elemen perpecahan dalam memelihara keharmonian negara.
“Disinilah mungkin letaknya kepentingan UMNO dalam terus memastikan kesepaduan dan perpaduan masyarakat terus dibina atas dasar toleransi ditunjangi oleh dominasi politik Melayu Islam yang boleh memastikan tema perpaduan dibina atas diplomasi kesantunan politik Melayu yang berprinsip dan bukan sebaliknya,” katanya.
Jelas beliau lagi, pimpinan dominasi politik Melayu Islam yang kuat harus diakui adalah tunjang perpaduan negara namun ia bukanlah semudah yang disangkakan dan bukanlah boleh dibina melalui strategi TikTok yang melonjakkan semangat membara anak muda.
“Dalam konteks berkaitan maka UMNO perlu bersaing dengan gelombang hijau untuk kembali membuktikan adakah ia adalah parti yang berupaya menyulam perpaduan negara dan kepentingan kaum Melayu dengan penuh keterbukaan dan bukan melalui kempen politik sempit bagi terus menjamin perpaduan serta perkembangan sosial ekonomi Pelangai serta Malaysia,” katanya. – PAHANGMEDIA

