Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 26 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang bercadang menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) bertujuan memastikan pengurusan durian di negeri ini lebih tersusun dan teratur sekaligus dapat memperkenalkan produk durian Pahang yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan dan antarabangsa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini adalah bukti bahawa Kerajaan Pahang memberikan tumpuan keutamaan terhadap sektor pertanian di negeri ini.
“Hari ini di Karnival Buah-Buahan kita dapat tunjuk kepada masyarakat setempat dan rakyat Negeri Pahang bahawasanya Kerajaan Negeri Pahang ini memberi keutamaan untuk sektor pertanian di mana bantuan pertanian pun Kerajaan Negeri peruntukkan lebih RM3 juta, (iaitu) bantuan kluster pertanian.
“Kita boleh tengok durian kita ada Musang King, Durian Beserah, Durian Tembaga, ada Durian Bentong Premium dan macam-macam. Jadi untuk tujuan itu kita telah bercadang untuk menubuhkan Lembaga Durian Negeri yang mana YB Ir Dato’ Sri Soffi selaku Exco Pertanian sekarang ini telah berbincang dan menyediakan kertas untuk diangkat ke Sidang Dewan untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Karnival Buah-Buahan Daerah Bentong Tahun 2023 bertempat di Dataran Pelangai, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman dan Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom.
Pada karnival itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut melancarkan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Petani.
Turut diadakan ialah Jualan Agro Madani, jualan buah-buahan tempatan, demonstrasi pembuatan ais krim durian, pameran dan cabutan bertuah. – PAHANGMEDIA

