Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang dalam proses mempergiat kolaborasi bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata ia melibatkan agenda keterjaminan makanan, sumber mineral, serta pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terus menyokong usaha UMPSA untuk mencapai aspirasi penyelidikan dan inovasi melalui pelbagai insentif dan bantuan kewangan, yang merangkumi rantaian nilai inovasi, daripada peringkat perancangan sehinggalah peringkat pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Anugerah Cendekia Bitara Prowess Craftsmanship Tahun2022 UMPSA.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, YBhg Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMPSA,YB Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Beliau dalam ucapannya turut berkata bahawa inovasi adalah penting untuk Malaysia pada hari ini selain menggalakkan pembangunan mampan.
“Teras ke-3 visi Malaysia Madani adalah Daya Cipta (Inovasi) dimana daya cipta akan dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Objektif utama adalah untuk mengubah masyarakat Malaysia daripada masyarakat pengguna semata-mata kepada masyarakat yang aktif menyumbang dan mencorak revolusi digital dan teknologi yang merubah lanskap dunia.
“Inovasi adalah penting untuk Malaysia pada hari ini. Inovasi memacu pertumbuhan ekonomi dengan mencipta industri, produk dan perkhidmatan baharu yang menjana pekerjaan dan pendapatan.
“Inovasi juga menggalakkan pembangunan mampan dengan menangani cabaran alam sekitar dan menggalakkan kecekapan sumber selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyasarkan untuk mengubah model ekonomi linear konvensional negara kepada model ekonomi pekeliling atau ekonomi tertumpu kitar semula yang lestari,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila 22 penyelidik dari UMPSA telah tersenarai sebagai dua peratus saintis di dunia.
“Membudayakan inovasi dalam sesebuah negara adalah cabaran masa kini Malaysia. Terima kasih kepada UMPSA yang sentiasa menjadikan pembudayaan inovasi ini sebagai agenda utama pencapaian universiti.
“Sebagai wakil rakyat di Pahang, saya berbangga apabila melihat seramai 22 orang penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2 Percent Scientist,” katanya. – PAHANGMEDIA

