Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang meminta kerjasama semua pihak terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk setempat bagi mengatasi kes kecurian dan vandalisme yang membabitkan menara telekomunikasi di Pekan, baru-baru ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, kecurian dan vandalisme ini bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada pihak kerajaan tetapi juga menyebabkan kesukaran kepada rakyat kerana berlaku gangguan rangkaian telekomunikasi.
“Saya minta kerjasama pihak berkuasa khususnya PDRM membantu kita sebab perkhidmatan ini disediakan untuk rakyat, apabila berlaku keadaan sebegini, terdapat gangguan komunikasi kepada rakyat, jadi saya minta sangatlah kerjasama semua pihak khususnya JPKK, pihak persatuan penduduk melakukan rondaan ke menara-menara di kawasan masing-masing untuk memastikan kejadian ini tidak berulang, bukan sahaja di Pekan tetapi juga di seluruh Pahang sebab yang ruginya adalah rakyat itu sendiri.
“Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh bersama dengan pihak-pihak berkepentingan atau stakeholders yang ada pada hari ini tetapi akhirnya bila siap ada pula kes-kes kecurian yang merencatkan dan mengganggu jaringan komunikasi di kalangan rakyat, jadi yang rugi ialah rakyat dan kalau keadaan ini terus berlaku maka banyak masalah lain yang akan timbul jadi saya minta kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Ringkas Status Ketersediaan tiga menara baharu Projek JENDELA di DUN Pelangai oleh Theta dan CelcomDigi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Chemomoi, Bentong.
Beliau berkata, rangkaian telekomunikasi kini menjadi keperluan penting kepada rakyat seperti keperluan elektrik dan bekalan air kerana pelbagai urusan boleh dilakukan menerusi rangkaian telekomunikasi antaranya perniagaan atas talian dan pembelajaran. – PAHANGMEDIA

