Oleh: Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 SEPTEMBER 2023: Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM245,000 bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Maran 2035 (Penggantian) dan Majlis Daerah Bera 2035 (Penggantian).
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Yang Berbahagia Tuan Mohd Nazri Abdullah berkata, pihaknya amat menghargai usaha dari pihak kerajaan negeri yang sentiasa komited dalam menyalurkan peruntukan untuk projek pembangunan negeri.
“Selain peruntukan sebanyak RM1 juta dari Kerajaan Persekutuan, draf penggantian ini telah disediakan dengan menggunakan peruntukan oleh Kerajaan Negeri Pahang iaitu RM108,000 bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Maran 2035 dan RM137,000 bagu Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bera 2035.
“Saya bagi pihak jabatan mengucapkan ribuan terima kasih di atas peruntukan tambahan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah Maran 2035 (Penggantian) dan Draf Rancangan Tempatan Majlis Daera Bera 2035 (Penggantian) di Dewan Cashmere, Hotel Zenith, di sini semalam.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pahang turut mengumumkan akan terus menyalurkan peruntukan pembangunan untuk tahun 2024 bagi penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Rompin dan Lipis 2035 (Penggantian). – PAHANGMEDIA

