Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyasarkan peningkatkan usaha persijilan halal terutama bagi produk makanan di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan pasaran eksport negeri membabitkan kluster makanan dan minuman.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, potensi kebolehpasaran produk makanan dari Negeri Pahang menjadikan persijilan halal ini memainkan peranan penting bagi mengeksport makanan ke negara-negara lain.
“Kita kena tambahkan usaha kita untuk persijilan halal ini kerana ianya telah menjadi satu tarikan untuk mana-mana negara di dunia ini yang memerlukan sijil halal tersebut untuk bahan makanan, jadi kita merasakan bahawa mungkin pelanggan-pelanggan akan merasa lebih terjamin daripada segi kebersihannya dan negara kita tidak terkecuali daripada segi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan potensi industri halal di Pahang selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob.
Sementara itu, menurut Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob, keahlian PASFA sejak ditubuhkan pada 1971 kini telah dianggotai seramai 65,391 orang ahli PPK daripada 22 Pertubuhan Peladang Kawasan.
PASFA juga bercadang untuk mengusahakan pelbagai bentuk pertanian dan membuat permohonan tanah di Kuantan, Pekan dan Cameron Highlands bagi tujuan tersebut serta mendapat jaminan daripada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang akan memberi pertimbangan serius terhadap PASFA kerana ianya selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan perusahaan pertanian bagi memastikan bekalan makanan tidak terjejas. – PAHANGMEDIA

