Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 11 SEPTEMBER 2023 : Seramai 126 mahasiswa dan mahasiswi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menerima insentif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dengan jumlah keseluruhan RM37,800.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah ini setiap seorang mahasiswa dan mahasiswi menerima RM300 seorang selepas dinaikkan RM100 berbanding tahun lalu RM200 seorang.
“Oleh itu, menerusi Kluster Siswa/Siswi ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan bantuan RM300 seorang kepada setiap mahasiswa/mahasiswi dengan peruntukan keseluruhan RM8 juta.
“Bantuan ini sebenarnya kita telah tambah daripada RM200 pada tahun lalu kepada RM300 pada tahun ini iaitu kenaikan RM100 bagi menampung perbelanjaan anak-anak pelajar membeli barangan keperluan ketika belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa Insentif Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul di Bentong.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen, barisan Exco Kerajaan Pahang, Pengarah Setara Unit Perancangan, Operasi dan Data Strategik Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Wan Salman Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, YH. Dato’ Rose Shamsul Abdul Razak.
Dalam ucapannya, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM42.4 juta menerusi BPP pada tahun ini dengan seramai 218,193 penerima telah mendapat manfaat daripada insentif ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sekiranya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri terus kukuh, tidak mustahil jumlah peruntukan insentif BPP akan ditambah pada tahun hadapan.
Malah katanya, sehingga kini Kerajaan Pahang telah berjaya mengutip hasil hampir RM850 juta dengan sasaran RM1.083 bilion menjelang penghujung tahun ini. – PAHANGMEDIA

