Oleh : Farahin Rosli
BERA, 9 SEPTEMBER 2023 : Kadar kesedaran pemilik tanah di Bera dilihat semakin meningkat dalam melunaskan tanggungjawab membayar cukai apabila daerah ini mencatat jumlah kutipan cukai tanah mencecah RM450,000 di Karnival Tanah Negeri Pahang Peringkat Daerah Bera hari ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, rata-rata pembayar cukai di daerah tersebut memiliki sifat tanggungjawab yang tinggi untuk membayar cukai tanah.
“Daerah Bera mempunyai jumlah tunggakan (cukai) yang paling sedikit di Negeri Pahang, ini menunjukkan kesedaran para pemilik tanah di Bera ini tentang tugas mereka untuk membayar cukai setiap tahun,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Dewan Konvensyen, Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Bera, YH Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YH Dato’ Hamdan Hussin; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Tanah dan Galian Negeri Pahang, Encik Azora@Ahmad Shamsudin; ketua-ketua jabatan serta barisan kepimpinan setempat.
Dalam pada itu, beliau sempat menitipkan pesanan kepada pemilik tanah di daerah tersebut yang belum melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.
“Jika hendak dibandingkan dengan tanah yang anda miliki cukai yang patut dibayar adalah kecil nilainya, sebelum tanah kita diambil balik oleh kerajaan, tindakan membayar cukai itu adalah lebih baik, ini bukan ugutan tetapi peringatan mesra,” katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai.
Beliau dalam majlis sama turut merasmikan program tersebut yang dihadiri kira-kira 1,500 orang pengunjung.
Karnival Tanah Negeri Pahang merupakan program siri jelajah seluruh daerah di Pahang bertujuan untuk meningkatkan kadar kesedaran pemilik tanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. – PAHANGMEDIA

