Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023: Kerajaan Pahang memandang serius isu ketidakhadiran 863 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 ke peperiksaan tersebut walaupun sudah berdaftar.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah menyenaraikan faktor-faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini antaranya tekanan akademik yang tinggi, masalah kesihatan, masalah peribadi atau keluarga serta kekurangan motivasi pelajar itu sendiri.
“Pihak JPNP membuat pemantauan melalui sistem SePKM secara berkala bagi memastikan pelajar yang berisiko cicir di sekolah sentiasa diberi perhatian di samping mengambil langkah-langkah yang sesuai dari semasa ke semasa seperti mengenal pasti punca pelajar tidak mengambil SPM, sesi konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga, pendedahan dan panduan dalam bidang kerjaya pelajar serta sokongan kaunseling yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, YB Tuan Woo Chee Wan ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tindakan lain yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini antaranya kenali gaya pembelajaran yang boleh diambil bagi memenuhi keperluan pelajar serta perlbagaikan aktiviti pembelajaran sekali gus dapat mengelak perasaan malas dalam kalangan pelajar.
“Bersesuaian dengan gaya pembelajaran murid di dalam kelas, guru boleh mempelbagaikan pendekatan yang tidak hanya terhad kepada kuliah dan penerangan, sebaliknya menjalankan aktiviti berbentuk projek, sumbang saran, lakonan, nyanyian, didik hibur, main peranan, pembelarajan berbalik dan kajian kes yang memberi ruang murid terbabit aktif dalam pembelajaran,” katanya.
Di samping itu, beliau menyarankan agar suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif serta bimbingan positif terhadap pelajar perlu dilaksanakan dalam usaha mengurangkan masalah ini.
“Persekitaran pembelajaran kondusif amat penting untuk memastikan pelajar kekal fokus kepada pembelajaran dan lebih berminat untuk mendalami sesuatu topik. Penting untuk diberikan perhatian oleh setiap guru dalam menyusun atur bilik darjah kepada suasana yang lebih selesa, selamat dan murid dapat bergerak aktif untuk berinteraksi.
“Bimbingan berfokus ke alam kerjaya dan masa depan kepada murid di sekolah seharusnya memberikan pengalaman positif kepada murid dalam pengembangan potensi dirinya, guru seharusnya lebih peka pada kekuatan dan kelebihan mereka,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

