Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pahang berjaya memperoleh kutipan kompaun berjumlah RM1.4 juta sehingga Ogos 2023 berbanding RM1.5 juta pada 2022.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tempoh itu juga, sebanyak 96 kes telah berjaya dibanteras melibatkan sitaan jentera dan eksibit sebanyak 229 buah.
“Selain itu, kerajaan Negeri Pahang juga menekankan pendakwaan dijalankan bagi semua kesalahan sebagai pengajaran dan contoh supaya tiada pihak sewenangnya menceroboh tanah kerajaan di Negeri Pahang. Menyambut baik hasrat itu, sebanyak lapan kes telah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, keberhasilan penguatkuasaan yang dijalankan UPNP tidak boleh dinilai menerusi kutipan kompaun atau denda sahaja sebaliknya boleh ditafsirkan secara tidak langsung dengan peningkatan hasil di Pejabat Daerah dan Tanah serta anak syarikat negeri.
Selain tindakan sitaan dan tangkapan, UPNP juga menjalankan tindakan penguatkuasaan di atas tanah milik anak syarikat negeri Pahang dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selaras Seksyen 425 (2) Kanun Tanah Negara bagi membantu syarikat seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, Pahang Corporation Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands dan Kementerian Dalam Negeri.
“Bantuan tindakan penguatkuasaan ini penting kerana selepas peneroka haram berjaya dibanteras, pelabur dan pemajak tanah berkaitan boleh membawa masuk pelaburan baru dan meningkatkan hasil bagi Kerajaan Negeri Pahang.
“Sehingga kini, UPNP telah berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi tanah seluas 1,360 ekar dan membolehkan tanah berkaitan ini dipajak dan diusahakan secara komersil bagi meningkatkan hasil Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

