KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2023 : Tempoh perkhidmatan YH. Prof. Emeritus Dato’ Dr Ahmad Hj Zainuddin sebagai Naib Canselor Naib Canselor University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Ketua Eksekutif KESB telah tamat pada 31 Ogos 2023 yang lalu.
Pengerusi Lembaga Lengarah KYP Education SDN. BHD (KESB), YH. Dato’ Sri Shahaniza Shamsudin berkata, justeru itu, barisan Lembaga Pengarah KESB ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh beliau kepada pembangunan dan pemerkasaan KESB terutamanya UCYP sepanjang lima tahun perkhidmatannya.
“Barisan Lembaga Pengarah juga ingin memohon kepada warga kerja UCYP tidak perlu bimbang berkenaan proses pendaftaran UCYP sebagai universiti penuh kerana proses pendaftaran masih dapat
diteruskan sejurus selepas pelantikan Naib Canselor yang baharu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini, pihak Pengurusan KESB dan UCYP telah pun membuat pengiklanan kekosongan jawatan Naib Canselor UCYP kepada umum dan turut dibuka kepada kakitangan dalaman yang layak memohon.
“Insya-Allah, seorang Naib Canselor baharu akan dilantik dalam tempoh terdekat setelah selesai semua proses yang diperlukan. Semoga dengan pimpinan baharu Universiti kelak akan membawa UCYP ke arah universiti penuh yang berprestij tinggi dan seterusnya menjadikan UCYP sebagai institusi pendidikan tinggi ulung di Pahang dan Malaysia,” katanya.
Buat masa ini Timbalan Naib Canselor UCYP (Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti), YBhg. Prof. Madya Dr. Azhar Ja’afar @ Ramli telah dilantik sementara untuk menjalankan fungsi Naib Canselor UCYP bermula 1 September lalu sehingga lantikan Naib Canselor UCYP yang baharu selesai. – PAHANGMEDIA

