PEMUDA UMNO ROMPIN SERAH MEMORANDUM KEPADA KILANG SAWIT IOI PUKIN
Oleh: Farahin Rosli
Foto: Mohamad Shahfitri Zulkifli & Fauziah Ismail (PMD)
ROMPIN, 2 SEPTEMBER 2023: Pemuda UMNO Bahagian Rompin menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan Syarikat Pukin Ladang Kelapa Sawit Sdn Bhd, Keratong berhubung isu pencemaran Sungai Pukin, di sini hari ini.
Penyerahan memorandum tersebut bertujuan untuk menyampaikan mesej dan peringatan supaya pihak kilang sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi standard operasi dan piawaian yang bertepatan dengan kehendak pihak berwajib.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin, Encik Mohd Azren Shaharudin berkata, pencemaran sungai yang berlaku menyebabkan kerosakan yang teruk kepada ekosistem serta menyebabkan kesusahan kepada peduduk setempat dari segi bekalan air.
“Hampir 11,500 akaun berdaftar di kawasan DUN Bukit Ibam dan DUN Muadzam Shah terkesan, sudah hampir enam hari tiada air, rakyat sangat susah dan kami sebagai Pemuda UMNO Rompin perlu memperjuangkan hal ini supaya semua pihak tahu bahawa apa yang berlaku ini memberikan kesan kepada rakyat secara umumnya.
“Kita dah tinjau kawasan bersama Exco YB. Tuan Ir Razali Kassim, kita tengok dengan mata sendiri puluhan tan ikan sungai dari pelbagai spesis mati begitu sahaja, dan ini menyebabkan kepupusan sumber akuatik di Sungai Keratong khasnya,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha kepada Penyelaras DUN Bukit Ibam, YB. Tuan Ir Razali Kassim turut menyatakan bahawa saluran pembuangan sisa kilang tidak diuruskan dengan cekap.
“Masyarakat setempat tahu bahawa saliran air sungai di sini menjadi saluran pembuangan (sisa kilang) secara tersembunyi oleh banyak kilang. Kita nak bawa mesej pada hari ini, cukuplah mengamalkan cara operasi yang tidak memenuhi standard pihak Jabatan Alam Sekitar,” ujarnya.
Menurut Encik Azren, beliau juga akan membuat penyerahan memorandum kepada kilang-kilang lain di kawasan sekitar seperti Kilang Sawit RISDA, Kilang Sawit Lam Trading, Kilang Kuantan Trading dan beberapa lagi.
Beliau berharap agar masalah pencemaran air dan pengurusan sistem kilang yang lemah ini tidak berlaku untuk kali ketiga memandangkan isu yang sama telah berlaku sebanyak dua kali untuk tempoh 2021 hingga 2023 sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat. – PAHANGMEDIA

