Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2023 : Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan parti itu menerusi beberapa tindakan proaktif yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.
Naib Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran Program Retreat Kepimpinan Pemuda dan Puteri Negeri Pahang merupakan langkah yang baik dalam memperkukuh parti di peringkat belia dan anak muda di negeri ini.
“Ini adalah inisiatif Pemuda dan Puteri, saya sangat bangga, syabas dan tahniah kerana mereka membuat program sebegini dan memberitahu beberapa tindakan proaktif yang akan dilaksanakan untuk masa-masa akan datang.
“Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Pemuda, Saudara Kamil tadi, yang sangat impresif, saya memberi sokongan 100 peratus, cuma saya minta mereka fokus kepada apa yang boleh buat dalam masa terdekat dan juga untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.
“Dan melihat kepada apa yang dibentangkan tadi saya sangat yakin dan optimis, Insyaa Allah Pahang kita akan dapat dipertahankan dan akan lebih maju daripada segi politiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan Ketua Pemuda dan Puteri seluruh Pahang pada Program Retreat Kepimpinan Pemuda dan Puteri Negeri Pahang di Balok Holiday Park di Balok, pagi tadi.
Hadir sama ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan untuk mempertahankan Pahang terutamanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada Oktober nanti.
“Of course (sudah tentu) optimis, Insyaa Allah, tetapi kita kena kerja kuat,” katanya. –
Kerusi bagi DUN Pelangai kosong selepas kematian ADUN Pelangai yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun apabila terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Ekoran daripada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober sebagai tarikh mengundi bagi PRK DUN Pelangai. – PAHANGMEDIA

