Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 31 OGOS 2023 : Yayasan Pahang (YP) melahirkan ramai belia muda yang berketrampilan dengan semangat patriotik dalam menerajui sektor pendidikan tinggi di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.
Ini terbukti apabila ramai graduan berkelulusan tertinggi berjaya dilahirkan oleh YP bagi memacu pelbagai sektor utama negara apabila akar umbi di peringkat belia berjaya dilentur dengan semangat cintakan negara.

Bagi Graduan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang, Muhammad Thariq Suhaimi Al-Hafiz, 22, semangat cinta dan kasih kepada negara dapat diterjemahkan dengan pelbagai cara termasuklah keterlibatan dalam aktiviti patriotik dan aktif dalam acara kenegaraan.
Beliau yang terpilih sebagai Ketua Pembaca Ikrar pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur menyifatkan semangat perpaduan dapat dipupuk meskipun ketika membawa ikrar yang melibatkan pelbagai kaum dan bangsa.
“Kalau orang tengok, baca ikrar je, tapi bila kita dapat bekerjasama antara kaum, kalau tengok kat belakang tadi ada daripada bangsa Orang Asli sendiri, ada Cina, India, bila kita berkolaborasi, kita tahu macam mana kesefahaman kita antara kaum-kaum ini dan sebenarnya kita ini masyarakat majmuk yang kuat kalau kita sentiasa bekerjasama dengan mereka ini.
“Jadi bagi saya acara-acara macam ini dapat menguatkan kita, kita kenal orang yang berlainan bangsa dengan kita dan bagaimana kita hendak kolaborasi dengan dia, bagaimana kita hendak bekerjasama dengan baik sekali dengan mereka ini,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga Ahli Parlimen Belia Negeri Pahang 2023, Pravin Ramakrishnan, 24, apabila nikmat kemerdekaan yang dikecapi harus dipelihara kerana pejuang terdahulu telah berusaha sedaya mungkin bagi mencapain kemerdekaan sejak 66 tahun lalu.
“Kita dapat merdeka ini bukan senang sebenarnya, sebab kita dapat merdeka ini, salah satu kunci kemakmurannya adalah perpaduan, jadi kalau tiada perpaduan, tiadalah merdeka.
“Jadi sebagai belia di luar sana, kita perlu bersatu padu dan kita kena mengeratkan hubungan silaturrahim antara kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Bagi graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Teng Boon Lim, 23, menyifatkan peluang membaca lafaz ikrar di hadapan ribuan orang ramai dapat memberikan kekuatan dan keberanian meskipun melibatkan pelajar yang berbilang kaum.
“Kami rasa bangga kerana kami dapat mewakili rakyat Pahang untuk membaca ikrar,” katanya.
Kesemua mereka membaca lafaz ikrar di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan bercemar duli pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 4, Kemunting di Kuantan, pagi tadi.
Turut mengiringi baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan tetamu-tetamu kehormat.
Sambutan kemerdekaan kali ini diterjemahkan melalui segmen persembahan bertajuk ‘Tanah Keramat’ bertemakan pengorbanan dan perjuangan yang dilakonkan oleh 160 penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Pahang, penari SUK dan penari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang dan Kumpulan Teater Pahang serta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut dipersembahkan adalah perarakan daripada 99 kontinjen dengan 66 kontinjen berjalan kaki manakala 33 kontinjen berkenderaan.
Kesemua kontinjen melibatkan seramai 4,434 peserta perbarisan terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, pancaragam sekolah serta perarakan kenderaan dan kelab.
Manakala sebanyak 803 kenderaan turut serta memeriahkan acara perbarisan pada kali ini.
Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-66 turut mempersembahkan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibarisi tiga pejuang Sukhoi SU30MKM dan empat pesawat Hawk. – PAHANGMEDIA