RAKYAT PELBAGAI KAUM DI PAHANG PAMER SEMANGAT PERPADUAN

Oleh: Farahin Rosli

KUANTAN, 31 OGOS 2023: Semangat perpaduan terus dipamerkan oleh rakyat Pahang yang berbilang kaum apabila lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2023 Ke-66 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 4, Kemunting, mula dibanjiri kira-kira 30,000 pengunjung seawal 6.00 pagi.

Bagi Mahessan Suresh, 19, semangat cinta akan negara dapat dipupuk dengan menghadiri sambutan hari kebangsaan tersebut selain dapat menonton perarakan kenderaan dan perbarisan badan beruniform.

Mahessan Suresh, 19

“Saya setiap tahun datang ke sambutan merdeka sebab mahu tonton perarakan bersama keluarga, selain itu semangat cinta akan negara juga dapat dirasai bersama-sama. Tahun ini memang meriah dan ramai pengunjung,” katanya.

Manakala, menurut Iman Amirah Arman, 16, sambutan hari kebangsaan kali ini amat meriah dengan pelbagai jenis persembahan dan pertunjukan dari pelbagai kaum.

Iman Amirah Arman, 16

“Tahun ini semua persembahan menarik kerana banyak sekolah terlibat dan macam-macam bangsa yang sertai. Memang seronok dan sesuai dengan tema Hari Kebangsaan kali ini. Saya lihat semua pengunjung dan peserta sangat teruja,” katanya yang merupakan pelajar sekolah SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang tersebut.

Cheong Zane, 16

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Exco dan kepimpinan Negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, bagi Cheong Zane, 16, rata-rata pengunjung yang hadir hari ini penuh semangat patriotik dan kelihatan teruja untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan bersama rakan dan keluarga.

Tambahnya lagi, perbarisan dan persembahan pada tahun-tahun seterusnya mungkin boleh ditambahbaik lagi dengan penyertaan kelab ataupun persatuan bangsa India, Cina, etnik dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram