BERSATU PADU DEMI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 31 OGOS 2023 : Masyarakat Malaysia perlu bersatu padu tanpa mengira kaum dan bangsa bagi mengekalkan keamanan dan kebebasan yang telah dikecapi sejak 66 tahun lalu.

Seorang graduan Universiti Yarmouk, Jordan, Mohammad Ikhwan Mohammad Nafiah Al-Hafiz, 20, berkata, segala usaha dan perjuangan pemimpin terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan perlulah dikekalkan dengan perpaduan dan saling menghormati dalam memenuhi wawasan dan harapan negara.

Mohammad Ikhwan Mohammad Nafiah Al-Hafiz, 20

“Mudah-mudahan negara kita terus bersatu padu, membentuk negara yang majmuk, pelbagai dan kita memenuhilah wawasan dan harapan yang kita mahu kan,” katanya.

Manakala, Graduan Orang Asli dari University College of Yayasan Pahang (UCYP), Marjudin Abdullah, 21, berkata, kebebasan hanya dapat dikekalkan menerusi persefahaman dan saling menghormati yang menjadi inipati perpaduan di dalam negara berbilang kaum.

Marjudin Abdullah, 21

“Bersatu padulah apa pun masyarakat, apa pun bangsa, kena bersatu padu sebabnya seperti mana yang kita tengok pada hari kemerdekaan ini, berbagai bangsa boleh bersatu padu,” katanya.

Seorang graduan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Muhammad Assaddullah Idris Al-Hafiz, 21, sudah menjadi di dalam sesebuah negara, pasti ada pertelingkahan pendapat namun pada akhirnya perlu bersatu padu demi kebaikan semua pihak terutamanya rakyat Malaysia.

Muhammad Assaddullah Idris Al-Hafiz, 21

“Kita kena bersatu padu juga, dalam kita bergaduh macam mana pun pada akhirnya mestilah untuk kebaikan semua orang.

“Jadi nak tak nak kita mesti bersatu padu untuk mencapai kebaikan untuk semua orang,” katanya.

Ketiga-tiga mereka adalah pelajar tajaan Yayasan Pahang yang merupakan antara pembaca lafaz ikrar di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda berkenan bercemar duli pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 4, Kemunting di Kuantan, pagi tadi.

Turut mengiringi baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan tetamu-tetamu kehormat.

Sambutan kemerdekaan kali ini diterjemahkan melalui segmen persembahan bertajuk ‘Tanah Keramat’ bertemakan pengorbanan dan perjuangan yang dilakonkan oleh 160 penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Pahang, penari SUK dan penari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang dan Kumpulan Teater Pahang serta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sambutan kemerdekaan kali ini turut mempersembahkan perarakan daripada 99 kontinjen dengan 66 kontinjen berjalan kali manakala 33 kontinjen berkenderaan.

Kesemua kontinjen melibatkan seramai 4,434 peserta perbarisan terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, pancaragam sekolah serta perarakan kenderaan dan kelab.

Manakala sebanyak 803 kenderaan turut serta memeriahkan acara perbarisan pada kali ini.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-66 turut mempersembahkan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibarisi tiga pejuang Sukhoi SU30MKM dan empat pesawat Hawk. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram