YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ketika Program Temu Anwar Kuantan di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kuantan hari ini.

PERDANA MENTERI MAHU ANAK MUDA SELIDIK KEBENARAN ISU

Oleh : Fairus Mohd & Farahin Rosli
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin

KUANTAN, 1 OGOS 2023 : YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda di negara ini agar tidak mudah percaya atau membuat sesuatu kesimpulan terhadap sesuatu berita atau maklumat yang diterima.

Beliau berharap agar golongan muda sentiasa berfikiran kritis dalam menerima apa-apa kenyataan terutamanya berita yang tidak sahih.

“Penting bagi anak muda untuk mengalami proses pencerahan supaya tidak mudah tertipu dan menjadi alat sesiapa.

“Tradisi membaca haruslah dihidupkan dalam kalangan anak muda kerana ilmu tidak dapat diperoleh dalam tempoh satu atau dua minit sahaja.
Ibu bapa juga haruslah memainkan peranan dalam melatih anak-anak menggunakan komputer dengan lebih mahir kerana penting untuk anak-anak muda mendapat maklumat dengan pantas tetapi haruslah disemak dahulu kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Temu Anwar Kuantan di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kuantan hari ini.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, barisan Exco serta kepimpinan negeri di pelbagai peringkat.

Kira-kira 5000 orang anak muda hadir dari Institut Kemahiran MARA, KKTM Kemaman, KKTM Kuantan, pelajar- pelajar tingkatan enam dari sekolah sekitar daerah Kuantan, Kolej Professional MARA, Giat MARA, dan lain-lain.

Anak-anak muda dan pelajar yang hadir ini tidak melepaskan peluang bertemu Dato’ Seri Anwar dan berpeluang mengajukan persoalan serta pandangan masing-masing pada sesi soal jawab.

Sesi dialog Temu Anwar itu bertujuan untuk memberi peluang kepada anak muda berkongsi pandangan dan teguran membina kepada pihak kerajaan di samping dapat mengajukan permasalahan dalam pelbagai perkara.

Dalam sesi tersebut, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi kos baikpulih tandas di institusi pendidikan MARA di seluruh Pahang.

Menurutnya, kerja baik pulih ini amat perlu dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran yang sedikit sebanyak terjejas disebabkan faktor kerosakan tandas ini.

Selain itu katanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sentiasa diberi perhatian dari segi struktur latihan, pembelajaran, serta hala tuju pekerjaan.

“Kira-kira 98 peratus graduan TVET menerima gaji dalam lingkungan RM2000 ke bawah. Saya sasarkan dalam tempoh dua tahun, lulusan TVET akan mendapat gaji mencecah RM3000,” katanya.

Menyentuh mengenai akses internet, masih ada para pelajar yang mengalami kesukaran dalam pembelajaran kerana capaian internet yang kurang memuaskan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan dalam tempoh akhir tahun ini, tahap akses internet dapat dicapai sehingga 80 peratus dengan pembelian Starlink sebanyak 140 unit.

Sementara itu dalam ucapan sama, beliau komited untuk meletakkan ekonomi Malaysia berada di kedudukan pertama di Asia Tenggara dan pada kedudukan 30 terbaik di dunia. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram