Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 01 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menaja 79 asnaf di negeri ini bagi menunaikan ibadah umrah.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 ini merupakan kerjasama yang julung kali diadakan di Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri sememangnya mengalu-alukan mana-mana agensi seperti Andalusia yang sanggup untuk tampil ke hadapan memberikan bakti kepada asnaf.
“Kerajaan Negeri juga mengarahkan sumbangan diberikan kepada mereka (asnaf terlibat) dari segi wang poket, visa, vaksin, dan juga pek bekalan makanan kering untuk setiap peserta.
“Manakala dari segi tiket, dan penginapan ditaja sepenuhnya oleh pihak Andalusia, dan Kerajaan Negeri memang beri kerjasama sepenuhnya kerana peserta yang dipilih adah golongan asnaf yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Ancasa Royale di sini.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Haji Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, YBhg. Tuan Haji Ibrahim Mat Sin; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.
Menurut beliau lagi, pemilihan peserta program umrah ini dilakukan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) termasuklah mualaf dan Orang Asli.
Sementara itu, menurut Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Puan Hajah Ida Riswana Idris, hampir RM900,000 diperuntukkan bagi menaja 89 peserta dan pengiring ke Tanah Suci kali ini.
Beliau berkata Pahang dipilih bagi program ini memandangkan kerjasama yang baik diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak Andalusia.
“Kami merasakan satu kolaborasi yang baik dengan Kerajaan Negeri Pahang, boleh terbentuk dengan baik, pencarian (peserta) yang mudah, dan kerjasama yang baik inilah yang membuat kami teruja bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Program ini telah dilaksanakan selama tiga tahun bermula dari tahun 2016, 2018, dan 2019 sebelum terhenti seketika akibat berlakunya pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan diteruskan kembali pada tahun ini. – PAHANGMEDIA