Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 2 OGOS 2023 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua pihak agar tidak berkempen menggunakan isu 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Raja).
Beliau berkata, Malaysia memiliki masyarakat majmuk serta berbilang bangsa dan seharusnya semua pihak memikirkan usaha untuk memajukan bangsa dan Negara Malaysia.
“Kita tidak boleh berkempen setiap masa menyentuh isu 3R ini kerana negara kita ini masyarakat majmuk, sepatutnya kita bercakap bagaimana kita hendak membina negara kita ini, bagaimana kita hendak membangunkan ekonomi negara ini.
“Jadi sudah sampai masanya untuk kita sama-sama memikirkan bagaimana kita hendak membawa negara ini ke arah yang lebih maju untuk rakyat di negara kita sebabnya sekiranya ekonomi negara menjadi lebih teruk, yang menjadi mangsa adalah rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Bandar Diraja Pekan semalam.
Pada majlis itu, para hadirin turut dipersembahkan dengan pertunjukan patriotik berbentuk kebudayaan, deklamasi sajak dan muzikal.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menggalakkan orang ramai khususnya rakyat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang bulan kemerdekaan ini sebagai tanda semangat dan cintakan negara.
“Kita perlu menyedari masyarakat sama ada generasi baru atau generasi terdahulu bahawa negara kita ini adalah negara berbagai kaum dan kita seharusnya menghormati antara satu sama lain dengan menghormati prinsip perlembagaan negara seperti mana yang dilafazkan,” katanya. – PAHANGMEDIA