Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KERAJAAN PAHANG MINTA JAKOA, JAIP TELITI USAHA BANTU SELESAI HAK JAGAAN ANAK ORANG ASLI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 29 MEI 2023 : Kerajaan meminta agar Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang dan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk meneliti dan berusaha bagi membantu menyelesaikan perebutan hak penjagaan anak Orang Asli yang tular di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya telah meminta JAKOA dan JAIP selain meminta agar Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang untuk sama-sama meneliti penyelesaian yang dapat dilaksanakan bagi membantu anak terbabit.

“Namun Kerajaan Negeri telah meminta pihak Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti secara terperinci bidang kuasa yang bertepatan dengan undang-undang yang ada di mahkamah seandainya boleh dibuat proses rayuan atau tuntutan dari pihak anak atau keluarga yang mensabitkan jika terdapat unsur-unsur penderaan, ini bertujuaan membantu agar hak pihak yang teraniaya khususnya anak ini dapat dipelihara sebaik-baiknya.

“Kerajaan negeri juga telah meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang dan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk meneliti dan berusaha bagi membantu perkara-perkara yang boleh dan dibenarkan mengikut undang-undang seandainya anak ini ada di sini dan lebih-lebih lagi jika memohon bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya di lama Facebook miliknya, baru-baru ini susulan kes perebutan hak penjagaan di antara ibu bapa Orang Asli yang telah bercerai terhadap anak mereka.

Semalam beberapa akhbar tempatan dan media sosial telah melaporkan kisah kanak-kanak berusia 9 tahun merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang telah bercerai dan dijaga oleh ibunya yang telah memeluk Islam namun Mahkamah Tinggi memberikan hak jagaan kepada ayahnya yang bukan beragama Islam.

YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim yakin bahawa isu ini akan mendapat pembelaan sebaik-baiknnya mengikut bidang kuasa mahkamah. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram