Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika merasmikan Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 Rompin di Dewan Utama Kompleks MSN Kuala Rompin

PAHANG KOMITED LAHIR PELAPIS AMIRUL HAMIZAN

Oleh : Fairus Mohd

ROMPIN, 28 MEI 2023 : Kerajaan Negeri komited untuk melahirkan lebih ramai atlet angkat berat sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan sukan itu yang pernah dikecapi bersama bekas atlet cemerlang, Hamirul Hamizan Ibrahim.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan Amirul mengharumkan nama negeri dan negara suatu masa dahulu mampu diulangi dengan komitmen dan usaha berterusan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika berucap merasmikan Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 Rompin di Dewan Utama Kompleks MSN Kuala Rompin

“Saya selaku Exco mempunyai hasrat tersendiri untuk mengembalikan kegemilangan sukan angkat berat sdi Pahang terutama (penghasilan) di daerah Rompin kerana kita tahu ramai jaguh-jaguh angkat berat dilahirkan di daerah ini.

“Saya sangat mengalu-alukan idea serta sumbangan daripada Persekutuan Angkat Berat Malaysia termasuk Saudara Amirul Hamizan sendiri untuk membantu Pahang menghasilkan jaguh-jaguh angkat berat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 Rompin di Dewan Utama Kompleks MSN Kuala Rompin, di sini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim serta Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Dato’ Ayub Rahmad serta Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sedia berbelanja untuk usaha ini dan mahu lihat hasil awal pada Kejohanan SUKMA di Sarawak pada tahun hadapan.

“Masih ada masa untuk kita sediakan atlet terbaik walaupun belum tentukan sasaran pingat dalam sukan-sukan yang dipertandingkan, tapi inilah yang saya katakan bahawa saya sendiri mempunyai sasaran.

“Pada bulan depan saya akan berjumpa dengan semua jurulatih dan pengurus sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA seterusnya menyatakan hasrat saya ini,” katanya.

Sementara itu, saudara Amirul Hamizan yang ditemui turut menyatakan kesediaan menyahut cabaran yang diberikan kepadanya bagi membantu mengembalikan kegemilangan sukan angkat berat di negeri ini.

“InsyaAllah saya akan membantu sehabis baik dengan mencari cara untuk menaikkan semula prestasi pasukan atlet (angkat berat) negeri Pahang ini.

“Saya akan menyumbang pendapat dan idea sehabis baik untuk membantu negeri Pahang sekaligus negara untuk bangkit kembali dalam sukan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram