KERAJAAN PAHANG TERIMA RM1.12 BILION TINGKAT FASILITI KESIHATAN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 29 MEI 2023 : Kerajaan Pahang menerima RM1.12 bilion bagi meningkatkan fasiliti kesihatan di seluruh negeri ini merangkumi penaiktarafan klinik-klinik kesihatan daif, peralatan kesihatan dan pembaikan / baikpulih bangunan-bangunan di seluruh Pahang.

Menteri Kesihatan, YB. Dr. Zaliha Mustafa berkata, selain itu, pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan yang menelan belanja RM605 juta kini dalam proses akhir bagi melantik kontraktor utama yang dijangka dapat diselesaikan pada penghujung Jun depan.

“Untuk pembinaan blok wanita dan kanak-kanak di HTAA, sebenarnya kita akan mulakan dalam masa terdekat, pihak JKR sedang dalam peringkat akhir bagi melantik kontraktor utama dan jangka akan laksana dalam bulan Jun atau akhir bulan Jun tahun ini, insyaa Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke HTAA bagi memantau pengoperasian perkhidmatan kesihatan dan mengadakan sesi dialog bersama petugas kesihatan di hospital berkenaan.

Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Awam) KKM, YBhg Dato’ Dr. Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Pahang, YBhg Dato’ Indera Azimi Yunus.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek ini dapat memberi manfaat kepada 564,000 penduduk di sekitar Kuantan dan seluruh Pahang.

Pada lawatan kali ini, beliau berkesempatan menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Pahang selain meninjau keadaan semasa fasiliti kesihatan termasuklah beberapa klinik kesihatan antaranya Klinik Kesihatan Bukit Goh, Klinik Kesihatan Bandar Kuantan dan Klinik Kesihatan Ibu & Anak Jalan Gambut.

Secara keseluruhannya terdapat 42 klinik yang akan dibaik pulih pada 2023 melibatkan peruntukan RM12.9 juta di mana 41 klinik sedang dalam pembaikan manakala sebuah lagi klinik masih dalam proses peroleh. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram