Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MEI 2023 : Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menggunakan lima kaedah bagi memperbaiki kerosakan atau lubang pada jalan yang bersaiz dan kedalaman besar atau dikategorikan kerosakan struktur jalan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, lima kaedah itu ialah ‘Cold In Place Recycling’ (CIPR) kaedah campuran bahan penstabil sebelum lapisan premix semua jalan dan kaedah ‘Mill and Pave’ proses mencakar jalan pada kedalaman tertentu menggunakan ‘asphalt miling machine’ diikuti kerja ‘premix’ semula jalan.
“Kaedah seterusnya adalah ‘Reconstruction’ pembinaan semula ‘base/subbase’ jalan diikuti kerja ‘premix’ semula jalan, kaedah ‘Super Fiber Mix’ (SFM) iaitu campuran bahan fiber dalam lapisan ‘premix’ semula jalan dan kaedah ‘Crumb Rubber Modified Asphalt’ (CRMA) iaitu campuran bahan ‘crumb rubber modified binder’ (CRMB) dalam lapisan ‘premix’ semula jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kaedah tampalan sementara menggunakan ‘coldmix’ pula akan digunakan bagi kerosakan yang dikategorikan sebagai kerosakan atau lubang bersaiz kecil sehingga 1m2 dengan kedalaman sehingga 25mm sahaja.
Manakala, tampalan kekal menggunakan ‘hotmix’ akan dilaksanakan pula dalam tempoh tiga hari susulan daripada tampalan sementara tersebut.
“Pada musim tengkujuh yang lalu, kita lihat kadar hujan sangat tinggi, kita gunakan kaedah ‘coldmix’ sebab ‘hotmix’ tidak boleh buat apabila hujan lebat, kenapa kita kena guna ‘coldmix’, kita kena tampal juga sebab bila hujan lebat, air penuh atas jalan dan lubang itu kita tak nampak, jika tidak ditampal, ia akan membahayakan pengguna jalan raya dan mengakibatkan kemalangan, jadi pihak JKR dan konsesi mengambil inisiatif untuk tampal juga dengan kaedah ‘coldmix’, bila dah kering nanti baru ditampal dengan kaedah ‘hotmix’,” katanya. – PAHANGMEDIA