YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini

SIDANG DUN : 82 PROJEK BEKALAN AIR BERNILAI RM47 JUTA SIAP DILAKSANA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Sebanyak 82 daripada 217 Projek Bekalan Air Pahang Fasa Satu 2021 hingga 2026 membabitkan kos RM47 juta sudah siap dilaksanakan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 37 projek membabitkan kos RM299.9 juta pula masih dalam pembinaan manakala 98 projek lagi dalam peringkat pra pembinaan iaitu perancangan reka bentuk, kelulusan atau urusan pelantikan kontraktor membabitkan kos RM1.996 bilion.

“Sehingga kini sebanyak 217 projek masih kekal dalam perancangan rapi dan pelaksanaan oleh Kerajaan Negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.3 billion.

“Keseluruhan peruntukan ini bukanlah sekadar janji, angka atau impian kosong. Ini merupakan satu inisiatif yang pasti dan dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak. Seperti yang saya jelaskan ketika Sidang DUN Pahang Ke-14, perkhidmatan bekalan air merupakan salah satu keutamaan dan fokus utama Kerajaan Negeri.

“Saya telah kotakan janji turun ke setiap daerah di Pahang, mendengar dan berbincang bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengenai isu dan penyelesaian masalah bekalan air di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, komitmen Kerajaan Negeri bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk memastikan 90 peratus isu bekalan air di Pahang dijangka dapat diselesaikan pada 2026.

Katanya, agenda air Pahang amat besar dan mempunyai beberapa komponen, memerlukan perancangan rapi, masa dan peruntukan kewangan yang besar.

Malah beliau berkata, masalah berkaitan bekalan air bukan sahaja berlaku di Pahang, tetapi turut berlaku di semua negeri di seluruh negara.

Beliau menyifatkan masalah bekalan air di Pahang berpunca daripada kadar tarif yang rendah sejak 1983 di mana kadar ini adalah kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang.

Namun, Kerajaan Negeri terus bertahan dengan kadar tarif yang rendah kerana mengambil kira bebanan yang ditanggung rakyat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram