YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini

SIDANG DUN : PENGAMBILAN TANAH UNTUK ECRL LIBAT PROSES PANJANG

Oleh : Shahrinnahar Latib
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Isu pengambilan balik tanah untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di dalam kawasan DUN Beserah yang didakwa tidak dibincangkan dengan teliti bersama pemilik tanah adalah tidak betul.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilik atau tuan tanah tidak perlu merasa bimbang kerana ia melibatkan proses yang panjang seperti peringkat pra pengambilan, semasa pengambilan dan pasca pengambilan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

“Malah, prosedur ini digunakan dan dipatuhi oleh kementeriana atau Jabatan Pengguna (KJP) dan Pentadbir Tanah,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sebelum ini ADUN Beserah, YB Tuan Haji Andasura Rabu dalam sesi perbahasan sebelum ini mendakwa berlaku isu pengambilan balik tanah untuk ECRL di dalam kawasan DUN Beserah yang didakwa tidak dibincangkan dengan teliti bersama pemilik tanah.

Justeru Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yakin menerusi proses-proses ini pemilik tanah mempunyai hak yang tidak boleh disangkal ke atas tanah mereka dan mereka juga berhak untuk menerima pampasan yang sewajarnya sekiranya tanah mereka diambil oleh Kerajaan bagi maksud awam. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram