Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

SIDANG DUN : SKIM JAMINAN KREDIT PERUMAHAN UNTUK GENERASI BAHARU FELDA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MEI 2023 : Generasi baharu FELDA yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan slip gaji boleh memohon Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, terdapat beberapa kelayakan yang telah digariskan bagi pemohon SJKP antaranya adalah pembelian kali pertama rumah kediaman, pinjaman sehingga RM500,000 termasuk nilai insuran pinjaman dan yuran guaman, bayaran balik tidak melebihi 65 peratus pendapatan kasar bulanan dan tiada rekod tertunggak CCRIS melebihi dua bulan bagi tempoh 12 bulan.

“Pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan seperti penyata akaun bank, lesen perniagaan atau lain-lain dokumen sokongan aktiviti jual beli atau perniagaan, pemohon perlu mendapatkan pengesahan pendapatan daripada inidividu yang dibenarkan dan pemohon boleh memohon pembiayaan perumahan di mana-mana institusi kewangan yang menyertai skim jaminan ini seperti BSN, Agro Bank dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang meneruskan Skim I-PUSH untuk fasa kedua yang masih dalam proses kelulusan dan penyaluran dana kepada 1,518 pemohon yang berjaya diagihkan sepanjang Mei dan Jun 2023 membabitkan baki peruntukan sedia ada berjumlah RM12.85 juta dan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta.

Sehubungan itu, YB. Tuan Ir Razali berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 1,146 koperasi berdaftar di Pahang dengan jumlah keanggotaan seramai 302,884 orang melibatkan syer dan yuran terkumpul bernilai RM0.44 bilion dan aset terkumpul melebihi RM1.6 bilion.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap sektor koperasi terbukti lagi terserlah melalui kelulusan Kerajaan Negeri terhadap cadangan pemberi milikan tanah Kerajaan di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara (Akta 828) atau di bawah seksyen 10 akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi tujuan tapak bangunan, perindustrian dan pertanian kepada syarikat kerjasama (Koperasi FELDA) dalam kawasan penempatan berkelompok, bagi kawasan-kawasan yang telah dibangunkan sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram