Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sabariah Saidan ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini

SIDANG DUN : KERAJAAN PAHANG LAKSANA PROGRAM LIBAT EKONOMI, PSIKOLOGI BAGI WANITA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Pahang melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi serta sokongan psiko-sosial bagi tahun ini.

Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata kesemua program ini dijalankan bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN).

“Program Pemerkasaan Penjanaan Pendapatan Wanita iaitu WeJana dan WeBridge (Women Empowerment) yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 akan diteruskan dan dilaksanakan bagi tahun 2023, yang mana program WeJana memberi bimbingan, dan panduan kepada wanita yang ingin menjana pendapatan.

“Program WeBridge pula memberi bimbingan dan latihan serta menghubungkan usahawan wanita kepada lebih banyak platform untuk memperluaskan perniagaan bagi membantu meningkatkan daya maju perniagaan mereka,” katanya pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga turut melaksanakan program melibatkan terapi dan psikologi yang dikenali sebagai Modul Skuad Waja 2.0 bagi meningkatkan kompetensi Skuad Waja dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Modul Skuad Waja 2.0 ini merangkumi kemahiran Bantuan Awal Psikologi (Psychological First!Aid) atau dengan singkatan (PFA) dan Psikospiritual (konsep terapi yang mengintegrasikan unsur psikologi dan kerohanian) contohnya terapi syukur, terapi sabar, terapi harapan dan terapi keredhaan,” katanya.

Beliau berkat, bagi meningkatkan kesejahteraan kendiri wanita, Kerajaan Negeri juga mengadakan program MATAHARI dan IRIS di negeri ini.

“Program ini berfungsi sebagai medium penyampaian ilmu dan pengetahuan mengenai hak individu dari aspek perundangan, saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa keganasan dan diskriminasi,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram