Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memfokuskan kepada pelaburan dalam sektor automotif, industri hijau, petrokimia, dan aero-angkasa sebagai sektor tumpuan bagi tahun ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata ia bagi memastikan perkembangan pelaburan di Negeri Pahang sentiasa relevan dengan keperluan dan tren semasa.
“Selain itu, penekanan juga akan diberikan kepada pelaburan dalam sektor agro-tech bagi memastikan keterjaminan makanan dengan harapan Negeri Pahang akan muncul sebagai pembekal utama makanan nasional.
“Untuk tujuan ini, saya akan bekerja rapat bersama kekanda saya YB Dato’ Sri Soffi, Exco Pertanian Negeri Pahang yang selama ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan pertanian di Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri akan cuba memastikan supaya pelaburan dapat dibawa ke seluruh Negeri Pahang termasuk ke kawasan-kawasan luar bandar melalui usaha-usaha penambahbaikan infrastruktur yang sedang dilaksanakan seperti yang diutarakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata tumpuan pelaburan dalam semua sektor ini disokong melalui pembinaan kemudahan infrastruktur yang baik dan bertaraf antarabangsa seperti pembinaan projek mega di Gebeng untuk pembangunan hub transit nasional melalui pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang bernilai RM2 bilion, pembinaan pelabuhan darat di jajaran ECRL dan pengukuhan fungsi Pelabuhan Kuantan yang menggalakkan aktiviti import dan eksport negara.
“Usaha yang dilakukan ini adalah senada dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri Pahang untuk menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan maju mengikut arus peredaran masa yang berteraskan revolusi perindustrian (IR4.0),” katanya.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan mencatat 49.1 peratus sebagai sumbangan tertinggi bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Pahang diikuti sektor pembuatan sebanyak 23.5 peratus.
“Prestasi perdagangan Negeri Pahang juga mencatatkan angka yang amat memberangsangkan iaitu menyumbang sebanyak RM46.58 bilion pada tahun 2021 di mana bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM37.17 bilion yang menyaksikan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya dan meletakkan Negeri ini di kedudukan keenam berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa sektor perindustrian di Negeri Pahang ini kekal kompetitif pasca COVID-19 yang melanda kita suatu masa lalu,” katanya. -PAHANGMEDIA