Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) malam tadi.
Turut mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 8.40 malam itu disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Hamdan Hussin, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kerabat bergelar serta barisan kepimpinan negeri.
Baginda berdua turut berkenan beramah mesra dan memenuhi permintaan pengunjung untuk bergambar kenangan.
Baginda turut berkenan mengurniakan duit raya kepada 1,500 orang kanak-kanak yang turut hadir bersama keluarga pada majlis berkenaan.
Dataran MBK dibanjiri kira-kira 3,000 tetamu yang hadir untuk memeriahkan majlis selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang disediakan. -PAHANGMEDIA