YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang bersama YAB Dato' Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri

10,000 ORANG TETAMU MERIAHKAN MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI UMNO PAHANG

Oleh : Fairus Mohd

LIPIS, 1 MEI 2023 : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang bersama YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri meriah dengan sambutan lebih 10,000 orang tetamu yang berkunjung seawal jam 2 petang, tadi.

Lebih istimewa, tetamu yang hadir dapat melihat lebih dekat dan beramah mesra dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Pelbagai juadah hari raya seperti lemang, ketupat, sate, nasi minyak dan pelbagai lagi disediakan untuk tetamu yang hadir dari sekitar pelusuk negeri Pahang khususnya dari daerah Lipis sendiri.

Majlis yang diadakan di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan itu turut diserikan dengan artis kebudayaan negeri Pahang selain kanak-kanak yang hadir turut menerima duit raya yang disampaikan sendiri oleh beliau.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan negeri Pahang sendiri.

Terdahulu, YB Dato’ Seri Ahmad Zahid turut melakukan lawatan kerja ke Pusat Tenun Pahang Diraja Pos Betau dan Klinik Kesihatan Pos Betau, di sini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba pada jam 3.40 petang melawat Pusat Tenun berkenaan yang mempunyai empat orang penenun dari masyarakat Orang Asli setempat.

Beliau kemudiannya melawat ke Klinik Kesihatan Pos Betau yang turut mempunyai bangunan Transit Pesakit Orang Asli yang mampu memuatkan seramai 30 orang penghuni dalam satu masa.

Transit ini bertujuan untuk menempatkan pesakit dan ahli keluarga Orang Asli yang terdiri daripada ibu-ibu mengandung yang berisiko serta pesakit yang perlu hadir untuk sesi temujanji rawatan dan pemulihan di Hospital.

Pihak JAKOA menyediakan bantuan kebajikan termasuk makan minum pesakit manakala rawatan dan penjagaan kesihatan diuruskan oleh pihak Klinik Kesihatan Betau. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram