YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Kolej Kediaman Mawaddah UMP di UMP Pekan.

UMP LANCAR KOLEJ KEDIAMAN BERKONSEP WAKAF PERTAMA DI MALAYSIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 28 APRIL 2023 : Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan kolej kediaman berkonsep wakaf yang pertama di negara ini bagi membantu pelajar dari golongan asnaf.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kolej kediaman yang dikenali sebagai Kolej Kediaman Mawaddah ini merupakan hasil kerjasama pihak UMP dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Untuk makluman semua, asrama Mawaddah ini adalah untuk golongan asnaf ditempatkan di sini dan ia diberikan secara percuma. Dan ini merupakan yang pertama di negara kita.

“Saya berharap supaya IPT (Institusi Pengajian Tinggi) lain boleh mencontohi apa yang telah dibuat oleh Universiti Malaysia Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata pihak UMP juga bercadang untuk meluaskan lagi penempatan para pelajar ini ke kolej kediaman yang lain di universiti ini bagi membolehkan mereka bergaul dengan pelajar lain.

“…buat masa sekarang kita menempatkan pelajar-pelajar asnaf ini di satu tempat di asrama ini di Mawaddah. Dan mereka (pihak UMP) bercadang, berbincang untuk kita lebarkan lagi pelajar-pelajar ini ke tempat yang lain supaya mereka boleh bercampur dengan pelajar lain.

“Dan bagi saya ini satu pandangan yang sangat baik kerana mereka boleh berkongsi pengalaman dengan pihak lain yang bukan dari kumpulan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Kolej Kediaman Mawaddah dan menanam pokok Golden Penda atau nama saintifiknya Xanthostemon Chrysanthus sebagai simbolik merasmikan kolej tersebut hari ini.

Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Pro Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abu Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman; Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang dan Kementerian Pengajian Tinggi juga tidak menolak untuk memberikan bantuan sekiranya ada IPT yang berminat untuk mengadakan projek sebegini.

“InsyaAllah (kita akan bantu) kerana ini satu benda yang baik, saya ingat tidak ada masalah, dan mereka dari golongan asnaf ini harus kita bantu bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi dari aspek lain seperti kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata projek pembangunan penginapan bernilai RM5 juta ini di tapak seluas 0.809 hektar ini merupakan inisiatif pengurusan UMP dan MUIP bagi membantu mahasiswa yang bekeperluan dan mempunyai masalah kewangan.

“Ia menempatkan sebanyak 110 bilik kediaman pelajar yang kondusif dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan fasiliti, sokongan akademik, aktiviti sosial, kegiatan sukan dan kegiatan kebajikan.

“Kolej Kediaman Mawaddah ini dibuka kepada semua pelajar berkeperluan, namun keutamaannya adalah kepada kumpulan pelajar asnaf dan anak yatim,” katanya.

Pembinaan bangunan Kolej Kediaman Mawaddah ini telan dimulakan pada tahun 2017 dengan dana permulaan berjumlah RM5 juta nemun mengalami sedikit kelewatan susulan pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2020.

Apabila bangunan ini siap sepenuhnya kelak, ia akan memberi mantaat kepada kira-kira 220 orang mahasiswa berkeperluan, terutamanya golongan asnaf dan anak yatim. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram