Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 20 APRIL 2023 : Penanaman pokok durian belanda oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi simbolik pemasyhuran nama baharu bagi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini.
Pokok durian belanda atau nama saintifiknya Annona Muricata L. tersebut telah ditanam oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di perkarangan masjid yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Taman Temerloh Jaya.
Baginda yang berangkat tiba pada 6.35 petang dengan memandu sendiri kenderaan telah disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 100 penerima dari golongan memerlukan di daerah Temerloh.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berjaya menyatupadukan masyarkat di dalam masjid berkenaan.
“Saya juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Masjid ini yang telah berjaya menyatupadukan rakyat di sini.
“Saya masih ingat lagi, saya berkunjung menunaikan solat Subuh pada Februari 2020, jemaahnya penuh tak kira tua dan muda. Dan masa saya solat di sini dulu, saya lihat masyarakat di sini bersatu dan baik hati.
“Saya menyeru dan menasihatkan kepada semua rakyat supaya mengekalkan tradisi ini di kawasan ini. Kekalkan sama rapat, bersama jiran-jiran dan kaum keluarga,” titah baginda.
Baginda seterusnya berkenan berangkat menyempurnakan acara menandatangani papan tanda perasmian masjid bernilai RM3 juta yang selesai dibina pada 2006 dan siap pada 2010.
Pemangku Raja Pahang kemudiannya turut berkenan berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di masjid yang dapat memuatkan dan dapat memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dalam satu-satu masa ini sebelum berangkat pulang.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man. -PAHANGMEDIA