Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
TEMERLOH, 19 APRIL 2023 : Sebanyak satu juta kenderaan dijangka memasuki Pahang di sepanjang musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini berlaku kerana Pahang merupakan laluan utama untuk memasuki negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Kita meramalkan lebih kurang satu juta kenderaan akan melalui Lebuhraya LPT contohnya di Temerloh sekarang ini, daripada Selangor, Melaka, Shah Alam dan berbagai-bagai lagi tempat di sebelah sana akan melalui Lebuhraya LPT ini dan kita meramalkan kenderaan yang akan melalui adalah sebanyak satu juta kenderaan.
“Ini adalah disebabkan Pahang adalah merupakan pintu masuk kepada negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Pusat Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Temerloh Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Arah Timur, petang tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, YBrs Tuan Kamarul Iskandar Nordin, pegawai dan anggota JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada majlis sama YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut menyampaikan beg sumbangan kepada pengguna Lebuhraya LPT di Pusat R&R Temerloh LPT Arah Timur.
Beliau turut menasihati orang ramai khususnya pengguna-pengguna yang menggunakan laluan LPT Pantai Timur agar berhati-hati sepanjang pemanduan, meneliti lalulintas sebelum memulakan perjalan serta mematuhi segala arahan dan peraturan jalan raya. – PAHANGMEDIA