Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan berbuka puasa bersama rakyat di Temerloh serta merasmikan nama baharu bagi Masjid Taman Temerloh Jaya kepada Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN HUTAN SIMPAN GUNUNG AAIS RIZAB HUTAN BAGI HARIMAU MALAYA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 20 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadikan kawasan Hutan Simpan Gunung Aais di Jerantut sebagai rizab hutan bagi Harimau Malaya.

KDYMM Pemangku Raja Pahang bertitah kawasan hutan simpan tersebut yang dikenali sebagai Rizab Hutan Di Raja Al-Sultan Abdullah akan dijadikan habitat semulajadi bagi spesis harimau berkenaan.

“Saya juga telah berkenan agar kawasan Hutan Simpan Gunung Aais di Jerantut untuk dijadikan Rizab Hutan Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah sebagai habitat semulajadi bagi Harimau Malaya.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat terus bersama-sama dan seiring dengan saya bagi menyelamatkan Harimau Malaya,” titah baginda.

Baginda bertitah pewartaan kawasan Hutan Simpan berkenaan merupakan salah satu usaha yang bakal dilaksanakan pada tahun ini bagi menyelamatkan spesis harimau berkenaan.

“Saya telah mendapat jemputan daripada Kerajaan India bagi menghadiri seminar berkaitan harimau di sana. Alhamdulilah saya berkesempatan menyampaikan titah dan berkongsi harapan serta inisiatif yang akan dilaksanakan oleh negeri Pahang untuk selamatkan Harimau Malaya.

“Banyak usaha yang akan dilakukan untuk memulakan inisiatif pada tahun 2023 ini. Sebagai permulaan kita akan adakan seminar dan bengkel serta menjemput pakar-pakar harimau dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mereka ke Negeri Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menghadiri jamuan berbuka puasa bersama rakyat di Temerloh serta merasmikan nama baharu bagi Masjid Taman Temerloh Jaya kepada Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KDYMM Pemangku Raja Pahang dalam titah baginda turut menzahirkan kesyukuran dengan pengurniaan RM17 juta wang zakat daripada Majlis Ugama Islam
Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada hampir 30,000 penerima yang memerlukan di negeri ini sepanjang bulan Ramadan.

“Semoga dengan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapatlah membantu mereka membuat persediaan Aidilfitri.

“Tidak terkecuali sumbangan turut diberikan kepada masjid dan surau, madrasah, tahfiz, serta pondok-pondok agama di negeri Pahang,” titah baginda.

Baginda dalam titah turut mengingatkan pemimpin negeri yang dilantik supaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

“Suka juga saya ingatkan kepada semua pemimpin negeri supaya terus fokus kepada pembangunan negeri selepas saya nanti.

Kepada wakil-wakil rakyat saya terutamanya yang baru dilantik, peganglah tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya. Ingat, rakyat menaruh sepenuh harapan pada anda semua,” titah baginda.

KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut bertitah supaya semua pihak mengamalkan sikap bertoleransi bagi memastikan negeri ini terus maju.

“Negeri Pahang ini aman dan sentosa. InsyaAllah dengan pelbagai sumber dan hasil negeri, dengan sikap toleransi, Pahang pasti boleh maju.

“Sikap toleransi dan saling hormat menghormati, itulah kekuatan negeri Pahang sendiri. Yang tua cerucuk negeri, yang muda penyambung legasi.

“Saya tidak mahu wakil rakyat saya bergaduh dan berpecah. Biarlah berbeza fahaman politik namun demi pembangunan negeri, ideologi tersebut ditolak ke tepi,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram