Oleh : Fansurina Abdullah dan Nur Fatin Alia Mokhtar
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 APRIL 2023: Penerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023 menzahirkan rasa syukur dan gembira atas keprihatinan Kerajaan Pahang menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dapat membantu dalam membuat persiapan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Seorang ibu tunggal, Puan Che Rohani Che Mat Zain, 63, berkata, bantuan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
“Mak cik mendapat bantuan atas kategori ibu tunggal, dari bantuan ini dapat juga menampung perbelanjaan untuk membeli bahan makanan dan dapat membantu dalam membuat persiapan hari raya,” katanya ketika ditemui Pahang Media di sini hari ini.
Manakala bagi Encik Muhammad Faizal Hussein, 52, tahun, beliau sangat berterima kasih kepada Menteri Besar di atas sumbangan yang diberikan.

“Terima kasih kepada yang berhormat Menteri Besar kita dengan penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2023, terima kasih banyak-banyak. Sedikit- sebanyak dengan bantuan dapat lah saya buat beli baju raya anak-anak,” katanya.
Bagi Nur Shazmin Kamelia Abdul Rasid, 13 tahun, merupakan antara penerima kategori anak yatim turut menerima sumbangan Bantuan Khas Aidilfitri 2023 menyatakan rasa gembira dan terharu di atas keprihatinan Kerajaan Pahang di atas pemberian sumbangan tersebut.
“Saya terharu kerana saya dipilih untuk mendapat bantuan ini. Bantuan ini dapat saya gunakan untuk kegunaan belajar dan sambutan hari raya Aidilfitri. Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memilih saya untuk mendapatkan bantuan ini dan kepada kerajaan negeri Pahang juga, terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Kesemua penerima telah menerima wang bantuan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas Aidilfitri 2023 / 1444H di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Kuantan.
Pada 4 April lalu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 berjumlah RM13.285 juta yang dapat dimanfaatkan kepada 24,472 penerima terdiri daripada penjawat awam, anak yatim berdaftar JKM, ibu tunggal, pesara Kerajaan Pahang, Pengerusi dan Setiausaha JPKK, Timbalan Pengerusi JKKR, JPPKOA, Tok Batin, Imam, Bilal dan Siak masjid. – PAHANGMEDIA