Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 13 APRIL 2023 : Seramai 886 peserta dari tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM700 seorang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM606,200 itu merupakan komitmen yang telah dilaksanakan sejak 2015.
“PKPP telah memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri sejak 2015 sehingga kini, dengan keseluruhan berjumlah RM4.86 juta. Pemberian ini merupakan bukti bahawa PKPP diuruskan dengan baik walaupun melalui fasa sukar seperti masalah pekerja, Covid-19 dan sebagainya.

“Sumbangan ini juga merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap peserta-peserta rancangan sosial PKPP dalam membantu mereka untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan persiapan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad serta Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Tujuh buah rancangan sosial terlibat ialah Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, RPSK Jerkoh, RPSK Peruang selain Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular, Sri Gemuruh, Kampung Awah dan Ladang Kecil Sungai Charu.
Pada majlis sama turut diadakan penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri kepada 325 orang Pengerusi JPKK, JPKKOA, Tok Batin, Setiausaha JPKK dan Ibu Tunggal bagi DUN Benta, Cheka dan Padang Tengku.
Selain itu, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Masjid Daerah Lipis serta RM750 kepada masjid dan surau dalam rancangan sosial PKPP di daerah Lipis.
Turut menerima sumbangan ialah kepada tabung JPKK RPSK Merapoh, Peruang, Jerkoh dan RTP Sg Ular yang menerima sebanyak RM2,500 setiap rancangan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10,000. -PAHANGMEDIA