Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Masjid Baharu Benta yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengisytihar masjid berkenaan sebagai masjid daerah yang baharu.

PENCERAMAH DI PAHANG PERLU ADA TAULIAH

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 13 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in bertitah agar penceramah di Negeri Pahang perlu mempunyai tauliah untuk mengajar dan ceramah di masjid atau surau.

Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam akan diberikan tauliah.

“Bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

“Biarlah mereka yang bertauliah dan mahir dapat menyebarkan ilmu agama di negeri ini. Pihak pentadbir masjid dan surau diminta terus mengawasi mana-mana pihak yang mahu mengambil peluang sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli merasmikan Masjid Baharu Benta yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga ADUN Benta, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta barisan EXCO Negeri Pahang.

Dalam pada itu baginda turut menyentuh tentang peranan masyarakat dalam mempertahankan kesucian, kemuliaan serta keharmonian institusi masjid.

“Saya berharap agar setiap masjid dan surau ditadbir urus oleh ahli masjid dan surau dengan sebaik mungkin. Imarahkan masjid dengan kelas dan aktiviti keagamaan, menyatukan umat kita Islam di kawasan masing-masing.

“Masjid bukan tempat untuk berpuak-puak, memihak-mihak dan memecahbelah umat Islam. Kerap saya ulang perkara ini dan saya mahu ia diingati dan dijaga dengan baik,” titahnya.

Baginda turut berharap agar masjid menjadi tempat untuk berkongsi ilmu demi kemajuan hidup dan ekonomi umat Islam sejagat.

“Saya minta kita kaji institusi masjid sebagai pusat kemasyarakatan melibatkan usaha memajukan masjid dan kawasan sekitarnya sebagai satu pusat ekonomi.

“Antara usaha yang dilakukan ialah tubuh koperasi, laksana projek berunsur agrikultural sekaligus boleh membantu masyarakat setempat melalui peluang kerja dan hasil yang diperoleh,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram