Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama perwakilan Wanita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 hari ini

TIADA PEMILIHAN PRESIDEN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO UNTUK ELAK PECAH BELAH DALAMAN PARTI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2023 : Keputusan untuk tidak mengadakan pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bertujuan mengelakkan perpecahan di dalam parti itu sendiri ketika UMNO berhadapan situasi genting di dalam polemik politik pada masa ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada waktu ini seharusnya semua ahli UMNO bersatu dan memberi tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri pada bila-bila masa sahaja.

“Nampaknya perwakilan semakin matang, kita dapat terima bahawa sekiranya ada pertandingan dan pemilihan sedangkan kita tidak kuat ketika ini, sejarah telah membuktikan apabila ada pertandingan kita akan berpecah, sedangkan kita seharusnya bersatu padu, berpakat, bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga untuk menghadapi PRU yang akan datang dan tumpu untuk menguatkan parti,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 Januari dan berakhir hari ini bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Pada PAU 2022 kali ini, UMNO Pahang menghantar seramai 355 perwakilan terdiri daripada UMNO Bahagian seramai 195 orang, Wanita 70 orang manakala Pemuda dan Puteri masing-masing seramai 72 orang.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, usaha yang dilakukan oleh Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di beberapa negeri yang tidak dikuasai oleh kerajaan merupakan tindakan yang baik bagi menyalurkan maklumat kepada rakyat.

“Kita sokong sebab JPKK ini adalah merupakan mata dan telinga kepada kerajaan, jadi apa jua permasalahan di peringkat akar umbi akan dapat disalurkan kepada JPKK dan pihak kerajaan akan mengambil tindakan daripada apa yang akan dibuat oleh JPKK,” katanya.

Usaha ini merupakan tindakan yang menyeluruh dan bersistematik dengan menyediakan platform yang tepat dan betul untuk rakyat dan masyarakat menyalurkan rayuan atau pun sebarang permohonan mereka. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram