Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 JANUARI 2023 : Kerja-kerja pemasangan paip pembentung sepanjang 66 kilometer di seluruh Daerah Kuantan telah siap sebanyak 94 peratus sejak dimulakan pada tahun 2020 meskipun beberapa kali perlaksanaan terhenti ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ketika negara dilanda pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun pada tahun 2020 hingga 2022 dan beberapa kali menghadapi PKP turut menyumbang kepada kelewatan kerja-kerja pemasangan paip akibat masalah logistik, pekerja, penutupan jalan dan sekatan jalanraya yang dilakukan ketika itu.
“Untuk makluman, projek pembentungan ini hanya mula dilaksanakan pada tahun 2020, namun ketika Pandemik COVID-19 (2020-2022) yang kita semua hadapi hampir dua tahun dengan PKP yang dilakukan beberapa kali, projek ini turut mengalami kelewatan kerana masalah logistik, pekerja yang tidak dibenarkan bekerja, penutupan jalan dan sekatan jalanraya yang diadakan turut mengakibatkan kelewatan kerja-kerja pemasangan paip ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya bagi menjawab aduan yang dibuat oleh seorang pelawak, Zalif Sidek di Instagram miliknya pada 14 Januari 2023.
Dalam hantaran itu, Encik Zalif meluahkan rasa hairan kerana kerja-kerja pembaikan Jalan Teluk Cempedak (Jalan Teluk Sisek) masih belum selesai ekoran Projek Pembentungan di laluan terbabit.
Justeru, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut berkongsi beberapa jaringan yang pernah melaporkan perkembangan kerja-kerja pemasangan paip di seluruh Kuantan yang dianggap sebagai projek untuk rakyat di mana Bandaraya Kuantan sememangnya memerlukan satu sistem pembentungan yang lebih baik, moden dan canggih untuk kegunaan jangka masa panjang melebihi 50 tahun akan datang.
Katanya, Kerajaan Pahang menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa berusaha bagi memastikan isu kesesakan lalulintas dapat diatasi sebaik mungkin dengan kadar segera. – PAHANGMEDIA