Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

UMNO PAHANG SOKONG CADANGAN PENUBUHAN MAJLIS ULAMA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2023 : UMNO Negeri Pahang bersetuju terhadap cadangan penubuhan Majlis Ulama di dalam parti UMNO sebagaimana dicadangkan oleh Presidennya, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan dasarnya, semalam.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, cadangan penubuhan Majlis Ulama ini sememangnya baik dan bagus tetapi perlu diteliti dengan betul dan rapi oleh pucuk kepimpinan parti agar ia berada di landasan yang betul.

“Yang pertama sekali UMNO perlu ada Majlis Ulama dan di mana kedudukan Majlis Ulama ini, yang kedua siapakah dia tokoh-tokoh ulamak yang kita hendak letakkan sebagai ahli Majlis Ulama itu tadi supaya mereka benar-benar berwibawa dan mampu untuk memandu arah UMNO ini.

“Dan yang keempatnya kita perlu mendasari siapakah ulama itu tadi kerana negara kita ini bertulang belakangkan kepada ahli sunnah waljamaah dan juga bermazhab kepada Mazhab Shafie dan ahli sunnah waljamaah itu pula bertulang belakangkan kepada Mazhab Al-Asyakirah dan Mathrubiyah, perkara ini sangat halus dan juga perlu diteliti dengan penuh rasional dan penuh rasa insaf dan rasa tanggungjawab kepada agama bukan ada apa-apa kepentingan sampingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 Januari (Rabu) hingga 14 Januari (Sabtu) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada PAU 2022 kali ini, UMNO Pahang menghantar seramai 355 perwakilan terdiri daripada UMNO Bahagian seramai 195 orang, Wanita 70 orang manakala Pemuda dan Puteri masing-masing seramai 72 orang.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, beliau yakin Majlis Ulama yang dicadangkan itu merupakan idea terbaik yang dapat memandu kelompok masyarakat termasuklah generasi muda, ahli UMNO dan umat Islam sendiri daripada terpengaruh terhadap fahaman yang bercanggah dengan agama Islam. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram