Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Sebanyak RM208,000 diperuntukkan bagi melaksanakan baik pulih 16 buah rumah Orang Asli melibatkan Rompin dan Muadzam Shah.
Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Negeri Pahang telah melaksanakan baik pulih di 11 unit rumah di Rompin dan lima unit rumah di Muadzam Shah.
“Kos melaksanakan baik pulih rumah adalah sebanyak RM13,000 untuk setiap unit rumah,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau sebelum itu, menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Samsiah Arshad berkenaan jumlah keseluruhan pembinaan Rumah PPRT Orang Asli di Pahang bagi tahun 2021 dan 2022 serta jumlah pembinaan baru dan jumlah baik pulih khususnya di Peringkat DN dalam daerah Rompin.
Beliau berkata, JAKOA juga tidak melaksanakan pembinaan baru rumah bagi tahun 2021 dan 2022 disebabkan oleh kos pembinaan yang meningkat.
“JAKOA Negeri Pahang tidak melaksanakan projek bina baru rumah untuk tahun 2021 dan tahun 2022 kerana faktor kos pembinaan telah melebihi harga siling berjumlah RM53,000 per unit disebabkan oleh kenaikan mendadak harga bahan-bahan binaan.
“Perkara ini telah mendapat perhatian serius oleh KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) dan kadar baharu harga siling yang bersesuaian dengan kos semasa telah diteliti,” katanya.
Menurut beliau, semua projek untuk bina baru rumah telah diserahkan ke agensi GIATMARA sebagai pelaksana projek bagi tahun 2021 dan 2022.
“Dengan kelulusan kadar baharu harga siling maka pihak JAKOA yakin akan dapat melaksanakan semula projek bina baru dan baik pulih rumah dengan lebih efektif dan efisien,” katanya. – PAHANGMEDIA