Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG MOHON LITAR LUMBA DRAG RM4 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi pembinaan litar lumba drag bernilai RM4 juta bagi memenuhi kehendak golongan muda di negeri ini.

Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, Kementerian Belia dan Sukan telah memasukan permohonan pembinaan litar drag di kampung Tebu Hitam, Rompin bernilai RM4 juta dalam Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan menunggu keputusan daripada pihak EPU.

“Bagi Kuantan dan Jengka, pihak Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang bersedia untuk mengangkat permohonan dalam Rolling Plan berikutnya berdasarkan kesesuaian tapak yang dipersetujui,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah berkenaan permohonan kepada Kerajaan Negeri untuk membina trek atau litar tertutup untuk tujuan aktiviti permotoran anak muda yang dicadangan di Bandar Kuantan, Jengka, dan Rompin.

Menurut beliau lagi, pihak Majlis Sukan Pahang (MSP) juga menyokong pembinaan trek atau litar tertutup bagi aktiviti permotoran anak muda di negeri ini.

“Bagaimanapun sukan permotoran ini tidak disenaraikan dalam Sukan Prestasi Tinggi yang dibangunkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Sehubungan itu Majlis Sukan Pahang (MSP) akan bersama-masa membantu Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bagi perkara ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram