Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak

SIDANG DEWAN NEGERI : PENDARATAN IKAN PEMANGSA BAUNG EKOR MERAH MENINGKAT 15 TAN METRIK DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Jabatan Perikanan Negeri Pahang merekodkan peningkatan lebih 15 tan metrik pendaratan ikan pemangsa baung ekor merah pada tahun ini berbanding tahun 2021.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata jumlah pendaratan ikan jenis ini adalah hasil tangkapan oleh nelayan darat.

“Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah menyedari kehadiran spesies ikan asing ini di perairan perikanan darat Negeri Pahang melalui pendaratan ikan yang di tangkap oleh nelayan darat. Nelayan darat perlu melaporkan hasil tangkapan ke Peiabat Perikanan Daerah berkenaan.

“Di sini jabatan dapat mengetahui kehadiran spesies tersebut di Sungai Pahang. Data pendaratan BEM tahun 2021 adalah sebanyak 22.348 tan metrik manakala sehingga Ogos 2022 meningkat sebanyak 38.241 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain berkenaan tindakan dan langkah yang telah diambil oleh pihak berwajib untuk menangani spesis ikan asing di Sungai Pahang seperti spesis Ikan Baung Merah semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata bagi melindungi habitat sungai sedia ada agar tidak diancam, Jabatan Perikanan kini dalam proses akhir bagi menyempurnakan pindaan undang-undang Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Negeri Pahang.

“Jabatan Perikanan juga dalam proses akhir untuk menyempurnakan pindaan undang-undang Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Negeri Pahang dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Pahang bagi memasukkan larangan melepaskan atau menternak spesies asing ini ke perairan umum atau akuakultur.

“Kewujudan ikan ini dilihat semakin berleluasa di mana ia menjadikan ikan tempatan sebagai diet utama. la merupakan sejenis ikan air tawar kategori pemangsa agresif yang paling merbahaya di dunia kerana ia memangsa semua jenis ikan dan hidupan lain di habitatnya.

“Itulah sebabnya banyak negara termasuk Malaysia yang melarang kemasukan spesis ikan ini untuk melindungi habitat sungai sedia ada agar tidak diancam. Jabatan Perikanan Malaysia juga tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah yang dikenali sebagai ikan pemangsa ke negara ini bagi tujuan penternakan ikan sangkar,” katanya.

Menurut beliau lagi, Jabatan Perikanan juga telah membuat kesedaran awam melalui program ceramah kesedaran serta edaran poster dan risalah kepada orang ramai berkaitan hal ini.

“Jabatan juga membuat kesedaran awam melalui, program ceramah kesedaran mengenai larangan melepaskan spesies asing ke perairan umum serta edaran poster dan risalah serta garis panduan pelepasan ikan-ikan ke perairan umum.

“Jabatan juga bersama-sama pemimpin setempat di Daerah Jerantut telah menganjurkan Program ‘Moh Buru Baung Ekor Merah’ di Jerantut Feri Waterfront pada 4 September 2022. Program ini dilaksanakan secara julung-julung kalinya di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram