Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Pahang merupakan negeri pertama menggunakan Sistem Pengkalan Data Perladangan (e-Ladang) bagi memudahkan carian maklumat berkenaan sektor perladangan di negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sistem e-Ladang ini juga telah diperakui oleh pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Ini diakui sendiri oleh MPOB bahawa Pahang merupakan negeri pertama sebenarnya untuk kita melancarkan sistem pengkalan data e-Ladang ini.
“Iaitu bertujuan untuk mengetahui lokasi, yang keduanya keluasan ladang, yang ketiganya jumlah pekerja perumahan dan lain-lain di ladang tersebut. Ia agak komprehnesif dan juga umur pokok tersebut.
“Contohnya kelapa sawit di Negeri Pahang ini kita kena tahu berapa umur, kita tak boleh nak tebang sekali semua, kita mesti ada tahun ini tebang sejumlah ini, tahun depan tebang sejumlah ini supaya pengeluaran tersebut dapat kita kawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemayan, YB. Dato’ Mohd. Fadil Osman berkenaan tujuan sistem e-Ladang dibangunkan dan manfaatnya serta jenis maklumat yang dikumpulkan melalui sistem ini semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata sistem e-Ladang yang dibangunkan sendiri oleh Kerajaan Negeri Pahang ini adalah bertujuan membantu Kerajaan Pahang berkaitan perkara melibatkan sektor perladangan.
“Sistem e-Ladang ini bagi membantu Kerajaan Negeri untuk merangka dan merancang dasar sektor perladangan; membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan; memudahkan capaian maklumat perladangan mengikut jenis tanaman; dan memudahkan urusan pemantauan dan penyediaan laporan dapat dibuat dengan cepat dan sistematik.
“Dengan data tersebut, Kerajaan dapat merangka dasar dan program yang sesuai bagi memajukan lagi sektor perladangan di Negeri Pahang.
“Sistem e-Ladang merupakan sebuah pangkalan data berpusat yang mengumpulkan maklumat syarikat, maklumat ladang, maklumat pekerja, dan maklumat hasil pengeluaran sektor perladangan di Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau sebanyak 10 jenis komoditi dilaporkan dalam sistem e-Ladang melibatkan tujuh jabatan dan agensi yang bertanggungjawab.- PAHANGMEDIA