Ahli Sidang Dewan Negeri berdiri dan memberikan penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob di atas segala jasa yang dicurahkan di Pahang selama 36 tahun menggalas tugas sebagai wakil rakyat

YAB MENTERI BESAR PAHANG ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA TAN SRI HAJI ADNAN YAAKOB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob di atas segala jasa yang dicurahkan di Pahang selama 36 tahun menggalas tugas sebagai wakil rakyat.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pelbagai sumbangan diberikan sepanjang perkhidmatan beliau apabila membangunkan sektor pendidikan tinggi di negeri ini dengan memperkasa Yayasan Pahang yang komited memajukan pendidikan anak Pahang dengan membelanjakan lebih RM1.3 bilion membabitkan seramai 1.6 juta penerima.

“Selain itu, penaiktarafan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) kepada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) serta tertubuhnya Universiti Malaysia Pahang (UMP), adalah antara hasil inisiatif dan kesungguhan Tan Sri Dato’ Sri Diraja dalam meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini.

“Dalam pada itu, penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang sehingga terbinanya sebuah kampus tetap di Tanjung Lumpur, Kuantan pada tahun 2005 adalah cetusan idea Tan Sri Dato’ Sri Diraja juga.

“Malah, pembinaan lebuhraya Central Spine Road (CSR) juga berjaya dilaksanakan ketika Tan Sri Dato’ Sri Diraja menjadi Menteri Besar,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kepimpinan Tan Sri Dato’ Sri Diraja dalam kepimpinan menjadikannya guru dan mentor di dalam karier politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Malah, ketokohan Tan Sri Dato’ Sri Diraja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang telah berjaya mengekalkan mandat pemerintahan di Pahang pada PRU ke-14 yang lalu ketika tsunami politik melanda negara ketika itu.

“Apa yang ingin saya tegaskan di sini, bahawa sepanjang 19 tahun Tan Sri Dato’ Sri Diraja mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri, kami rakyat Pahang amat terhutang budi atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan,” katanya.

Seluruh Dewan Negeri turut bangun dan memberikan tepukan penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Sri Diraja yang akan mengakhiri perkhidmatannya pada penggal ini selepas 36 tahun mejadi Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelangai, Bentong. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram