Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

SIDANG DEWAN NEGERI : TUJUH PROJEK, PROGRAM BAGI JAMIN PEMBANGUNAN ORANG ASLI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang merangka tujuh projek dan program yang komprehensif bagi menjamin pembangunan Orang Asli di negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, ini selaras dengan inisiatif keempat Belanjawan Negeri Pahang 2023.

“Pelbagai perancangan, projek dan program yang komprehensif dirangka untuk masyarakat Orang Asli Negeri Pahang antaranya ialah Rumah Rakyat Pahang Orang Asli (RRPOA) sebanyak 100 unit; Program Baik Pulih Rumah Orang Asli yang layak dengan sasaran 100 buah rumah; Projek Pembekalan Air ke Kampung Orang Asli yang akan memberikan manfaat kepada 3,300 masyarakat Orang Asli di 33 Kampung Orang Asli Negeri Pahang.

“Program kebersihan di pusat-pusat pelancongan Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM200,000; Insentif perkahwinan pertama sebanyak RM 300 bagi setiap pasangan yang diluaskan manfaatnya kepada masyarakat Orang Asli.

“Program Kampung Angkat Orang Asli bagi Usahawan Tani Fertigasi di tiga kampung terpilih dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 300,000 dan Program PEDULI Orang Asli mensasarkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar orang asli dibantu menyambung pengajian ke peringkat universiti dengan peruntukan sebanyak RM 200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM1.21 juta akan diperuntukkan kepada 11 kampung terpilih dalam agenda pembangunan kampung bagi setiap daerah di negeri ini.

“Ini melibatkan 10 kampung tradisi dan 1 kampung Orang Asli bagi setiap daerah di Negeri Pahang untuk Program Keceriaan Kampung. Program Keceriaan ini akan meliputi aspek kebersihan, tanaman bunga dan projek-projek pertanian di kampung,” katanya.

Menurut beliau lagi, kesemua 139 buah kampung yang akan diwartakan di bawah Seksyen 6 Akta 134 Orang Asli telah dimasukkan ke dalam perancangan permohonan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ia telah diselaraskan oleh Kerajaan Negeri dan JAKOA bagi mendapatkan peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan kerja mengukur kawasan perkampungan tersebut bagi membolehkan permohonan warta diangkat kepada Kerajaan Negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram