Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG KOMITED ATASI KEMISKINAN HAID DI KALANGAN WANITA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang komited mengatasi isu kemiskinan haid di kalangan remaja wanita B40 di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Bagaimanapun, ianya akan diperluaskan kepada golongan wanita dewasa yang juga berhadapan isu kemiskinan haid ini.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, terdapat kira-kira 499,300 golongan terbabit di negeri ini berusia antara 10 hingga 49 tahun dan berkemungkinan berhadapan isu kemiskinan haid ini.

“Kerajaan Negeri terpanggil untuk memberi perhatian khusus terhadap isu ini yang mana melalui peruntukan yang diberikan ini, Majlis Pembangunan Wanita dan Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang akan merangka program kesedaran untuk menyediakan input serta pendidikan berkaitan kebersihan diri, kesihatan yang produktif, pengurusan haid, menekankan ciri-ciri tuala wanita yang baik serta ruang tersendiri yang selamat seperti tandas yang tertutup dan bekalan air yang bersih,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Jelasnya, isu seumpama ini segan dibincangkan secara terbuka di kalangan masyarakat meski pun ianya perkara yang penting apabila melibatkan isu kesihatan dan kebersihan golongan terbabit.

Dalam perkembangan lain, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza menjawab kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari berhubung kemampuan Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan kepada rakyat, beliau berkata, segala usaha yang telah dilakukan merupakan bukti kepada komitmen dan kesungguhan kerajaan selama ini.

Pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan termasuklah pemberian Kad Kesihatan Warga Emas menerusi Pahang Pride Kasih kepada 22,000 warga emas seluruh negeri, seramai 23,000 pelajar tahun satu menerima sumbangan RM100 setiap seorang, pemberian RM200 kepada 43,000 mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Pahang dan pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma kepada rakyat terpilih dengan lebih 300 unit rumah telah terbina.

Jelasnya, segala sumbangan dan bantuan yang diberikan ini merupakan bukti dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan rakyat yang memerlukan dengan mengembalikan segala hasil daripada pihak kerajaan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram