Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

SIDANG DEWAN NEGERI : PAHANG PERUNTUK RM2.35 JUTA NAIKTARAF STADIUM DARUL MAKMUR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM2.35 juta bagi menaiktaraf Stadium Darul Makmur yang akan mencapai usia 50 tahun pada tahun hadapan.

Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata ini bagi memastikan bangunan ikonik dan bersejarah berkenaan terus dipelihara.

“Justeru peruntukan tambahan sejumlah RM2.35 juta akan diberikan kepada Stadium Darul Makmur bagi mengadakan sambutan Jubli Emas serta menaiktaraf peralatan serta persekitaran Stadium Darul Makmur itu sendiri.

“Ini bertujuan supaya peristiwa bersejarah sejak mula Stadium Darul Makmur ditubuhkan dapat dirasai oleh generasi sekarang khususnya anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Katanya, Kerajaan Pahang juga menerima peruntukan sebanyak RM15,630,660 iaitu peningkatan 53.3 peratus berbanding RM8,331,700 pada tahun lepas.

“Kerajaan Negeri tidak hanya menumpukan kepada sukan teras sahaja dalam memberikan peruntukan. Ini kerana, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Pahang memberikan tumpuan kepada 47 jenis sukan berprestasi tinggi yang digazetkan dalam Akta Pembangunan Sukan.

“Peruntukan kepada sukandan persatuan berkaitan sentiasa diberikan dari semasa ke semasa termasuk untuk penganjuran dan penyertaan kejohanan sukan.

“Sebagai contoh, peruntukan bagi pembangunan sukan dan anak muda pada tahun 2022 meningkat sebanyak 53.3 peratus iaitu dengan jumlah yang diterima RM15,630,660 berbanding RM8,331,700 pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM4.407 juta diperuntukan bagi pelaksanaan program melibatkan persatuan belia dan aktiviti melibatkan golongan ini di negeri Pahang.

“Sebanyak RM375,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Intervensi Sosial, Program Youth Career, Program Webinar Youth Digital, Kursus Youth Agrotech. Manakala RM1 juta disalurkan melalui pelaksanaan pelbagai program dan kursus latihan untuk membangunkan belia di Negeri Pahang.

“Peruntukan sebanyak RM3 juta untuk Program Teknokrat yang meliputi aspek seperti geran latihan, kursus kemahiran dan pembelajaran, internet of things dan coding, dan lain-lain merupakan bukti Kerajaan Negeri serius bagi meningkatkan taraf profesionalisme belia.

“Penerusan Program Pahang Talent juga suatu perkara yang harus dipuji dengan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi membimbing dan melatih anak-anak muda negeri ini yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah untuk berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram