Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Pahang masih kekal sebagai penyumbang utama daging lembu negara iaitu kira-kira 2.5 peratus penggunaan atau 12 peratus daripada pengeluaran daging negara.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, pelbagai inisiatif diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menyokong pengeluaran daging lembu negara yang masih rendah iaitu sekitar 22 peratus sahaja.
“Pada tahun 2021 pengeluaran daging adalah sebanyak 4,739 tan metrik berdasarkan populasi ternakan sebanyak 142,501 ekor lembu melibatkan 4,067 orang penternak.
“Bagi terus memperkasakan usaha ini, antara inisiatif yang dilakukan ialah memperkenalkan Skim Makmur Ternak bermula tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi perolehan ternakan, peralatan dan bahan binaan kandang di mana seramai 81 orang penternak menerima manfaat daripada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin berkenaan usaha Kerajaan Negeri memperkasakan sektor penternakan lembu pedaging bagi menyokong pengeluaran negara yang masih rendah pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi berkata, Kerajaan Negeri juga terus menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan muda untuk menyertai sektor penternakan pada tahun ini antaranya penyediaan insentif seperti Geran Agropreneur Muda di mana seramai tujuh orang anak muda telah menerima manfaat program ini.
“Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Veterinar sedang giat mengadakan kempen bagi menggalakkan penggunaan baka lembu sado seperti limousin, belgian blue dan charolais yang mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada baka lembu tempatan selain lembu baka wagyu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.
“Jesteru, penggunaan teknologi permanian beradas dan pemindahan embrio akan diaplikasikan di Pahang bagi menggiatkan aktiviti peningkatan kualiti genetik lembu tempatan serta meningkatkan bilangan jurusuntik permanian beradas di kalangan penternak bagi menyokong keperluan perkhidmatan ini melalui siri kursus dari tahun ke tahun,” katanya.
Katanya lagi, usaha lain yang dilakukan ialah penganjuran program latihan dalam bentuk pemindahan teknologi melalui kursus, seminar, bengkel dan sidang penternak bagi memastikan mereka yang terlibat dilengkapi ilmu yang berkaitan.
“Kita juga sedang melaksanakan pengukuhan Enakmen Kawalan Kerbau Lembu melalui semakan dan penambahbaikan perundangan sedang dilaksanakan pihak jabatan bagi memastikan sektor penternakan kekal mapan dan tidak menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya. -PAHANGMEDIA