YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

PAHANG TERUS JADI PILIHAN PELABUR ASING

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak tahun 2019 Kerajaan Negeri melalui Bahagian Pelaburan dan Penswastaan dan Unit Antarabangsa, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang telah menarik sebelas syarikat daripada beberapa buah negara asing.

“Antaranya Singapura, Thailand dan China selain menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM2.341 bilion.

“Selain itu pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menandatangani empat perjanjian pelaburan dengan nilai sebanyak RM920 juta dan seterusnya tujuh perjanjian pelaburan dengan nilai sebanyak RM11.01 bilion pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkenaan jumlah pelaburan luar serta nilai berjaya dibawa masuk ke Negeri Pahang sejak 2018 hingga Ogos 2022 pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, bagi pelaburan di atas tanah hak milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang 2018 hingga 2022 ialah sebanyak RM 25.87 bilion bagi Pelaburan Pembangunan, RM1.23 bilion Pelaburan Pertanian dan RM105 juta bagi Pelaburan Penternakan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram